Selamat kembali kepada penulisan yang serius.
Salam perpaduan.
Panas!! Itu yang dapat saya simpulkan. Atmosfera politik tempatan semakin panas dan membara. Umpama jualan akhir tahun yang diselingkan dengan bonus untuk kakitangan kerajaan disamping sesi persekolahan baru yang akan bermula tidak lama lagi. Namun bukan itu yang mahu diceritakan.
Suara mahasiswa mula kedengaran setelah menyepi sejak tahun 1974 selepas beberapa pemimpin pelajar telah ditahan atas dakwaan menentang kerajaan. Namun hakikat yang kita tahu, mereka benar-benar memperjuangkan hak rakyat yang ditindas. Siapa yang menindas? Hanya mereka yang tahu. Baru-baru suara mahasiswa bergema lagi namun kali ini bermula dengan gerakan yang mahukan kebebasan untuk mahasiswa? Kebebasan apa? Jawapannya hanya pada mereka juga. Nanti kalau dijawab sendiri, orang kata bersikap memandai-mandai. Tidak tahu maka bersikap tidak tahu walaupun kita tahu. Kadang-kadang, ada orang mempunyai sikap memperjuangkan hak untuk menafikan hak orang lain.
Kalau dahulu, kita mendengar pertubuhan mahasiswa/i hanya di bermula dengan gerakan atau mewujudkan kumpulan yang digelar pro- aspirasi yang menyebelahi kerajaan yang memerintah atau pihak pengurusan universiti dan Pro- mahasiswa yang dikatakan penentang atau pihak yang kontra perjuangan mereka dengan pro- aspirasi. Saya sebenarnya kurang berminat bercerita tentang politik universiti kerana saya cuma belajar di satu universiti saya dan universiti saya bebas. Kami boleh buat apa sahaja yang dikatakan sebagai bergerak didalam konteks akademik dan menolak unsur politik luar kerana tidak mahu "mengotorkan" institusi akademik yang kami hormati. Kami lebih gemar memerhati dan memberikan ulasan yang ilmiah. Kami tidak suka bergaduh sebab bagi kami politik kampus tidak menguntungkan kepada masa depan kami. Seperti yang saya selalu kata tentang politik kampus, "bukan boleh dapat tender pun kalau jadi wakil MPP atau aktif dalam kepimpinan universiti". Namun, bukan bermakna saya ini golongan yang tamakkan harta dan kekayaan sebab mahukan tender kerajaan namun itu tidak lebih kepada sindiran saya kepada ahli politik sahaja.
Pilihan raya akan datang dikhabarkan akan menjelang. Bila? Kena tanya kerajaang(loghat Terengganu walau saya bukan orang Terengganu). Namun pelbagai isu ditimbulkan dari kisah lembu, buku sekolah, gay, tipu sampailah ke kes kapal selam yang tidak boleh tenggelam. Pada saya, sesiapa di dunia ini pasti akan menipu. Tidak kiralah parti agama cap bulan atau parti bangsa keris yang dijulang atau cap mata lebam lambang freemason atau roket yang tidak boleh terbang, pasti yang ada didalamnya terdiri daripada orang yang suka ditipu, sentiasa ditipu, sentiasa penipu dan seorang yang penipu. Yang tersadung berdarah siku, rakyat sendiri juga tu...
Semua orang mahu berhimpun. Kononnya lambang kebebasan. Tidak dinafikan namun adakah ianya berkesan? Kena pukul dengan kawan-kawan dalam Unit Simpanan Persekutuan, kepala benjol, dahi pun lebam.
Menteri hendak berkawan pun jadi isu. Sampai hendak berkawan pun orang lain jadi penentu? Sudah hilang akal ke kata begitu? Ini ke kebebasan yang dijadikan isu? Menteri atau ahli politik yang perangai macam hantu, kalian sembah macam orang zaman jahiliah dahulu.
Sudahlah, tepuk dada tanya selera, bila makan sendiri terasa, sedap atau tidak makanan yang dirasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan