Yo!
Sudah berlumut agaknya blog aku ini. Bukan apa, tidak ada buah fikiran untuk diluahkan. Idea banyak cuma sering dilupakan. Ya, sekarang aku hidup di dunia baru. Alam pekerjaan. Walaupun kerjanya tidak seberapa, aku bersyukur sebab aku dapat kerja tetap. Leceh juga. Sebab manusia ini macam-macam ragam. Usia sudah lanjut pun masih berada didalam keadaan pra-matang lagi. Bergaduh dengan budak-budak. Dalam kehidupan baru ini, aku dapat kawan dan kenalan baru. Namun, rakan-rakan yang mengiringi aku selama ini, seolah-olah mengganggap aku sudah tidak wujud lagi. Ya, tidak mengapa. Resam dunia. Aku terima sahaja. Cuma kesian dengan buah hati aku. Orang yang banyak dibantunya selama ini pijak balik dia. Aku harap dia bersabar sahajalah. Marah pun tidak berguna. Sebelum itu, nurkilan ini bukan ingin menghina sesiapa. Sekadar ingin berkongsi buat pengajaran buat kita bersama.
Ah! Persetankan semua itu. Aku ingin bercerita tentang perkara lain. Perkara yang lama aku pendam. Bukan tidak mahu meluah tetapi siapalah aku hendak bercerita. Tidak pandai berteori dan berhujah, bila bercakap semua bersepah. Kata orang, tidak faham apa itu demokrasi. Tidak mengapa. Diam sahaja..hehehe
Kembali pada tajuk, kaduk dan Padi suatu benda yang berbeza namun persamaannya ianya boleh dijumpai di Malaysia dan yang paling penting, ianya adalah tumbuhan. Namun begitu, kedua-dua tumbuhan ini digunakan dalam peribahasa Melayu yang mengambarkan sikap dan perilaku manusia. Ya, peribahasa ini digunakan agar manusia perlu dan tidak perlu bersikap sedemikan rupa. Ya, peribahasa sudah banyak yang dilupakan kerana dianggap sangat kompleks untuk difahami.
Peribahasa yang menggunakan kaduk ialah ibarat kaduk naik junjung. Peribahasa ini banyak sekali maksudnya namun segala keseluruhan, ia membawa maksud atau membayangkan perlakuan dimana seorang manusia yang lupa diri apabila sudah berjaya atau berjaya kerana orang lain dan melupakan terus malah menindas orang yang membantunya.
Ini aku pernah sendiri terkena. Bukan mahu bersikap masuk bakul angkat sendiri namun aku memang suka membantu orang. Tidak mengira siapa dan aku terus membantu. Tidak dinafikan banyak yang aku tolong lebih berjaya dari aku. Ada manusia yang "zero" pada mulanya akhirnya menjadi seorang yang bijaksana dan lebih baik dari aku. Aku tidak mengharapkan apa-apa walau ucapan terima kasih. Cuma ada segelintir yang aku bantu itu sering "memperkecilkan" aku. Aku tidak pasti kata-kata itu sekadar gurauan atau apa namun sepanjang aku kenal dengan individu-individu terbabit, aku pasti ianya satu sindiran. Aku tidak terasa, tidak terhina, sekadar terfikir sahaja. Mudah benar seorang manusia itu menjadi angkuh dengan apa yang miliki walaupun dengan bantuan dan usaha orang lain. Namun begitu, aku tetap redha. Tidak kisah dan menerima dengan seadanya. Biarlah. Aku gembira orang lain gembira. Sekurang-kurangnya aku tidak bersikap "cakap tidak serupa bikin".
Kisah yang sama berlaku pada teman wanita aku. Orang yang selama ini beliau bantu dalam apa jua masalah akhirnya seolah-olah membuat teman wanita aku mempunyai dosa besar baginya. Aku pun tidak pasti apa punca masalah yang berlaku kerana teman wanita aku sendiri tidak mahu menceritakan sepenuhnya. Tidak mengapalah..
Padi merupakan satu tumbuhan yang menghasilkan beras yang menjadi nasi yang menjadi makanan utama kepada hampir semua umat manusia di muka bumi ini. Sesetengah kumpulan manusia di muka bumi ini mempercayai padi mempunyai semangatnya yang tersendiri dan perlu dihormati. Semua manusia yang memakan nasi yang dihasilkan dari beras yang dituai dan diproses dari padi menghargai setiap butir nasi ini kerana ianya memerlukan proses yang panjang untuk mendapatkannya.
Pernah kita mendengar, ikut resmi padi. Makin berisi, makin tunduk. Ini menggambarkan sikap dimana seorang manusia perlu merendah diri dengan ilmu atau apa sahaja yang dimiliki. Namun begitu, tidak semua begitu. Kerana angkuh itu sentiasa ada. Walau sekuat mana ibadat agama kita lakukan, keangkuhan tetap ada. Ibarat selagi ada manusia, keangkuhan tetap ada. Aku pun angkuh tetap ada. Merendah diri pun ada. Keangkuhan ini juga seperti perasaan perkauman. Satu pembohongan jika seorang itu tidak ada pun perasaan "racist" walau dia tersebut seorang yang berfahaman "humanist"...
Cukuplah aku berhujah. Mungkin aku tidak berhak untuk berkata-kata. Aku tidak maksudkan sesiapa. Aku ada mata dan kepala. Sekadar bercerita sahaja, jika terasa maaf dipinta. Bukan permusuhan yang dipinta, tidak ada apa yang aku tuntut rasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan