Tanah lapang

Khamis, 22 April 2010

Sunyi? Sendiri? Kecewa?

Salam pembuka bicara,
Kali ini tiada kaitan dengan kuasa ketiga.

Esok ada exam tapi aku masih sempat update blog ni. Bukan apa, ada satu soalan yang orang asyik tanya kat aku dalam minggu ni. Mereka tanya, ko anak tunggal, tak rasa sunyi kew? Tak boring takde adik beradik? Ko kawan pun tak ramai.

Aku cuma mampu tersenyum. Aku jawab, " aku dah lahir seorang. Hidup aku cuma ada mak dan bapak aku sahaja. Aku hidup tak mewah walau hidup seorang. Hidup dikawal walau umur dah naik belasan tahun.". Aku dah biasa hidup seorang. Aku tidak mengharapkan simpati orang untuk mendampingi aku. Orang tak mahu rapat dengan aku, apa lagi aku nak buat? Aku tak terhegeh-hegeh.



Selama ni, aku susah senang, aku seorang. Aku mampu berdiri seorang selama ini(kecuali sekali sahaja orang bangunkan aku semula setelah aku benar-benar jatuh.). Kecewa, sedih dan duka adalah permainan hidup aku. Aku biasa dikecewakan. Bagi aku, adatlah hidup didunia. Aku senyum dalam duka. Aku cerita ni bukan kerna nak simpati. Mintak maaf.. Aku bukan terlalu terdesak mahukan perhatian.

Ada orang kata, aku tidak pernah hargai sesiapa yang ada bersama aku. Jawapan itu salah sama sekali. Aku sentiasa menghargai apa sahaja yang ada. Cuma aku tak tunjuk sangat. Aku gemar melakukan sesuatu tanpa alasan. Sebab banyak cakap pun tak guna, buktikan dengan perbuatan. Mungkin akan mengambil masa yang lama dan akan menghilangkan orang yang tidak sabar. Aku nak dia sedar sendiri apa yang aku buatkan untuk dia.

( Aku rindukan seseorang. Aku mimpi dia semalam. Aku harap aku akan mimpi dia lagi malam ni. Walaupun dia dekat namun jaraknya jauh untuk aku. Biar aku pilih derita merinduinya. )

Isnin, 12 April 2010

Apa cerita ya?

Salam kuasa ketiga

Aku cuma mahu mengisi ruang senggang aku ini. Aku ingin mengutarakan satu persoalan.

Apabila aku mengatakan sesuatu, ada manusia akan sanggah dan mengatakan ianya tidak benar sama sekali bagi mereka.
Namun, ada ketikanya, manusia itu akan mengatakan perkara yang sama, dan beliau mengatakan ianya benar sama sekali baginya.
Aku bukan nak marah atau nak sindir sesiapa. Cuma aku pelik dengan sikap manusia begitu. Kadang-kadang aku rasa kelakar.

Selasa, 6 April 2010

Khianat! Pengkhianat dan cakap tak serupa bikin.

Salam sejahtera kepada pengunjung semua.

Salam sinis pembuka bicara,
sinis itu semanis gula.

Kata-kata ini bukan kata-kata kosong sahaja,
aku sudah muak bergelumang dengannya.

Khianat, pengkhianat dan mengkhianati, merupakan satu perbuatan yang paling bahaya, menyakitkan, merugikan dan segala lagi macam kesan yang negatif akibat daripada perbuatan ini. Perbuatan dan sikap ini juga boleh meruntuhkan apa jua seperti organisasi, kumpulan, puak, bangsa, negeri dan negara atau satu tamadun. Mengikut sejarah juga, banyak empayar atau negara yang kuat pada awalnya, runtuh akibat daripada perbuatan khianat ini. Perbuatan ini juga terbahagi kepada sukarela dan paksa-rela atau tanpa disedari kerana ia bergantung kepada keadaan. Biasanya, orang yang bersikap begini amat pandai bersikap "talam dua muka". Jujurnya, bagi pendapat peribadi aku, sikap begini ada pada semua manusia.

Suka rela untuk bersikap khianat adalah muncul daripada sikap tamak, dendam, dengki atau iri hati, kecewa dan sebagainya. Orang yang bersikap begini biasanya adalah "Duri dalam daging" dalam satu kumpulan. Mereka mampu meruntuhkan sesuatu kumpulan itu kerana mereka sendiri adalah berasal daripada kumpulan itu sendiri dan segala kelemahan kumpulan terbabit berada dalam tangan mereka. Biasanya pengkianat sebegini akan dihukum bunuh jika tertangkap..

Paksa rela pula akibat daripada sesorang itu telah dipaksa oleh pihak lain untuk mengkhianati pihaknya. Ugutan biasa melibatkan nyawa dan keselamatan atau aib dan maruah individu itu sendiri atau keluarganya. Biasanya, individu yang terlibat dalam situasi begini akan berfikiran tidak waras kerana terlalu bimbang dan takut. Dalam hal begini, individu yang terlibat tidak boleh dipersalahkan 100% kerana mereka tidak mampu berbuat apa ketika itu.



Seterusnya ialah sikap khianat tanpa disedari. Dalam situasi begini, ia boleh dilihat dalam pelbagai aspek. Antaranya mereka yang gemar bercakap, mereka ini adakalanya akan membongkarkan rahsia tanpa disedari. Mungkin ini adalah kelemahan mereka. Atau sikap yang gemar menyimpan "kelemahan" di tempat yang tidak sesuai dengan beranggap ia akan selamat.




Paling akhir sekali ialah, sikap cakap tak serupa bikin. Sudah pasti anda tertanya-tanya mengapa dikaitankan dengan sikap khianat. Cakap tak serupa bikin ini adalah sikap dimana seseorang itu berkata-kata dengan penuh tekad dan azam. Namun, kata-kata itu hanya tinggal kata-kata sahaja. Aku pun pernah bersikap begini namun aku tidak pernah mengkhiatnati sesiapa. Aku hormat dengan orang dan tidak pernah menuntut seseorang mengotakan janjinya kepada aku. Tapi apabila aku persoalkan sesuatu, mereka akan memberikan seribu satu alasan kepada aku. Bagi aku, jangan cakap kalau tak boleh buat. Hipokrit namanya. Tapi apakan daya, manusia tidak sempurna.

Moralnya disini, jangan marah jika dikhianati. Imbas kembali apa yang sudah anda lakukan.

P/s- Sapa terasa, padan muka. Cermin-cerminlah muka.

Khamis, 1 April 2010

Akhirnya ada yang sependapat dengan aku.

Salam mahasiswa, salam aspirasi dan salam kuasa ketiga.



Syukurlah.. Semalam, forum WACANA DEMOKRASI DI KALANGAN GENERASI MUDA anjuran Kelab Sains Politik USM selamat diadakan dan segalanya berjalan dengan lancar walau pada mulanya penuh dengan cabaran. Kepada rakan-rakan di Kelab Sains Politik, tahniah dan syabas atas usaha yang anda semua lakukan. Disini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan peralatan audio untuk majlis pada malam itu. Ribuan kemaafan jika ada salah dan silap saya sepanjang perjalanan program disamping itu saya juga ingin meminta maaf kerana saya tidak mampu memberikan yang terbaik pada malam itu.

Sambutan forum ini agak menggalakkan walaupun pada malam yang sama juga, saya difahamkan bahawa banyak aktiviti lain berlaku di USM seperti AGM dan peperiksaan disamping keadaan cuaca yang tidak mengizinkan kerana hujan turun sejak petang. Forum ini dikendalikan oleh saudara Izzudin atau pemilik blog terjun ke langit.blogspot sebagai moderator. Manakala ahli panel pula terdiri daripada Prof Madya Ahmad Fauzi dari Pusat Pengajian Jarak Jauh USM, Dr. Abu Bakar selaku ahli panel kedua yang didatangkan khas daripada UUM dan ahli panel ketiga ialah En. Mohammad Maliki iaitu presiden bagi Majlis Belia Malaysia dan bekas pelajar USM sendiri.

Perbincangan isu hangat di mana apa yang saya faham dapat lihat ialah, ahli panel memberikan hujah mereka berdasarkan sejarah, peranan kerajaan dan sebagainya. Contohnya seperti Dr. Abu Bakar dari UUM, beliau memberikan hujah mengikut perspektif negara indonesia kerana beliau adalah rakyat indonesia. Ini agak menarik kerana ia boleh dilihat forum ini agak bersifat international.

Manakala En. Maliki melihat dan memberi perspektif mengikut perspektif beliau dari sudut belia di Malaysia. Peranan belia, apa yang perlu belia perlu lakukan dan sebagainya. Manakala, Dr. Ahmad Fauzi pula membincangkan dan memberikan pendapat daripada sudut sejarah di mana belia patut belajar dari sejarah dan tidak bersifat bias antara sejarah budaya barat atau budaya islam. Menurut beliau, kita patut belajar dari kedua-dua sudut dan melalui itu, barulah kita akan mendapat maklumat yang sebenar.

Para hadirin yang hadir juga berpeluang mengutarakan soalan walau pada hemat peribadi saya, ada diantara soalan mereka sudah "lari" dari tajuk forum  ini. Namun begitu, terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh para pengunjung yang hadir ke majlis forum ini.

Namun, apa yang saya ingin kaitkan dengan apa tajuk post saya ini ialah dimana saya terdengar dan teringat kata-kata salah seorang daripada tiga ahli panel, apa yang saya faham dan dengar( maaf jika salah apa saya dengar ini), sikap sesetengah pelajar yang tidak mahu "keluar" dari USM ini. Sikap yang hanya gemar berlegar di suatu sudut sahaja tanpa mahu meneroka perkara lain. Terlalu "Sayang" dan "Setia" kepada USM ini. Tidak salah untuk bersifat begini namun adakalanya kita kena "keluar" dari "kotak" yang kita ada ini. Apabila terjadi perkara sebegini rupa, mereka tidak mampu memberikan hujah yang membina atau hanya gemar memberikan hujah yang sedia ada. Ingin memperjuangkan demokrasi dan kebebasan, namun mereka sendiri tidak faham apa mereka perjuangkan.

Namun, saya tidak menafikan hak kepada mereka yang tidak setuju dengan kata-kata saya ini dan terima kasih untuk tidak bersetuju. Namun begitu, jangan nafikan hak saya untuk berkata begini kerana ia sudah melanggar prinsip demokrasi.

p/s- Saya ada cadangan buat pihak pengurusan USM. Cadangan yang tidak masuk akal lagi tidak munasabah namun itulah kepakaran saya. Cadangan saya ialah, pihak pengurusan USM perlu menyediakan satu kawasan perkuburan khas bagi para pelajar atau sesiapa sahaja yang terlalu "sayang" atau "setia" dengan USM ini. Biarlah mereka hidup dan mati bersama USM ini..